Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pemergian Napsiah Kehilangan Besar Kepada Wanita UMNO

Pemergian Napsiah Kehilangan Besar Kepada Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, Pemergian Pengerusi Tetap Wanita UMNO Tan Sri Napsiah Omar ke Rahmatullah hari ini merupakan satu kehilangan besar buat pergerakan itu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Napsiah merupakan seorang srikandi tulen yang tiada tolok bandingnya.

“Perjuangan beliau yang berdekad lamanya dirasai oleh semua wanita dan negara. Legasi perpaduan yang beliau wariskan menjadi ikatan kekuatan kepada 1.4 juta ahli Wanita UMNO.

“Sebagai seorang ikon Wanita UMNO yang amat berpengalaman, pemergian beliau meninggalkan satu ruang yang sukar diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizat turut menyifatkan pemergian Napsiah memberi kesan kepada dirinya secara peribadi kerana allahyarham merupakan tempat baginya merujuk dan mencari nasihat untuk meneruskan langkah perjuangan politik.

“Secara peribadi, saya kehilangan seorang kakak yang amat saya hormati dan sayangi,” katanya.

Napsiah yang juga bekas Anggota Parlimen Kuala Pilah untuk lima penggal (1986-2004) meninggal dunia akibat barah hati pada 6.10 petang tadi di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya dekat sini.

Beliau berusia 74 tahun.

Napsiah pernah dinobat sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Sambutan Hari UMNO ke-71 pada Mei tahun lepas.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga allahyarhamah di atas pemergian beliau.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada negara. Beliau merupakan tokoh wanita UMNO yang tegas memperjuangkan usaha memartabatkan golongan wanita di Malaysia pada era 90-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Leave a Reply

Top