Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pembelian Hotel Di Kuching Tidak Mematuhi Mandat

Pembelian Hotel Di Kuching Tidak Mematuhi Mandat

KUALA LUMPUR, Pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh anak syarikat FELDA, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah agensi itu.

Pembelian hotel itu yang berjumlah RM160 juta juga tidak mematuhi mandat dibenarkan oleh FELDA yang menetapkan pelaburan tidak melebihi RM100 juta.

Perkara itu diberitahu Pegawai Tadbir FELDA, Siti Salwani Mohamed Salleh, 41, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali di sini, hari ini iaitu hari pertama perbicaraan sembilan kes rasuah dan satu kes pecah amanah dihadapi Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi FELDA, membabitkan wang berjumlah RM3 juta tahun lalu.

Siti Salwani yang juga saksi kedua pendakwaan, mengakui pada mulanya tidak mengetahui mengenai mandat yang ditetapkan itu dan hanya tahu mengenainya apabila disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel berkenaan.

“Mandat ini menetapkan projek melebihi RM100 juta dikendalikan FICSB, perlu mendapatkan kelulusan ahli lembaga pengarah FELDA.

“Sekiranya mandat ini tidak dipatuhi, Ahli Lembaga Pengarah FICSB dikatakan membuat pelaburan tidak memenuhi syarat mandat ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Salwani berkata pembelian MPHS masih sah berdasarkan perjanjian jual beli antara Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dengan FICSB.

Saksi itu berkata, dalam hal itu Ahli Lembaga Pengarah FICSB bertanggungjawab menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan pembelian daripada Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Beliau berkata, namun tidak ada kertas kerja dikemukakan kepada FELDA lanjutan perkara itu, di mana tiada Ahli Lembaga Pengarah FICSB, termasuk Mohd Isa, memberikan arahan kepada bahagian perundangan untuk sediakan dokumen Lembaga Pengarah.

“Bagi mendapatkan kelulusan itu, adalah tugas Ahli Lembaga Pengarah FICSB untuk dapatkan kelulusan daripada FELDA,” katanya.

Terdahulu, ketika membacakan ucapan pembukaan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, berkata pendakwaan akan membuktikan melalui keterangan bahawa Mohd Isa selaku Pengarah FICSB, melakukan pecah amanah.

Afzainizam berkata, tindakan tertuduh dalam melakukan kesalahan itu menyebabkan kerugian kepada FICSB.

“Tindakan tertuduh bertentangan dengan mandat ditetapkan Ahli Lembaga Pengarah FELDA kepada Ahli Lembaga Pengarah FICSB dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan Perjanjian Jual Beli MPHS bertarikh 27 Jun 2014 dan pembayaran dibuat FICSB.

“Perjanjian dibuat ini adalah bertentangan dengan mandat ditetapkan oleh Lembaga Pengarah FELDA,” katanya.

Afzainizam berkata, pendakwaan akan menunjukkan, tertuduh mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak (MPHS) daripada Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd antara September 2013 hingga Oktober 2013.

Beliau berkata, tertuduh turut mengarahkan Mohd Zaid untuk menyediakan Kertas Lembaga Cadangan Pembelian MPHS.

Sementara itu, saksi ketiga pendakwaan, Pengarah Unit Tranformasi Felda Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, berkata FELDA menyalurkan dana pelaburan dan perniagaan pada 2014 dan 2015 berjumlah RM653 juta kepada FICSB.

Beliau berkata, pembayaran dana itu membabitkan RM499.5 juta pada 27 Mei 2014; RM51,208,139.71 (23 September 2014); RM100 juta (29 Mei 2015); RM1 juta (21 Oktober 2015) dan RM1.88 juta (28 Oktober 2015).

“Pembayaran dana RM499.5 juta adalah pendahuluan diberikan FICSB melalui pinjaman FELDA peroleh daripada Maybank Islamic Berhad,” katanya.

Mohd Shahrin pernah bertugas sebagai Pengarah Kewangan FELDA sehingga

Mac lalu, berkata dana RM51,208,139.71 adalah untuk modal berbayar kepada FICSB daripada dana dalaman wang FELDA.

“FICSB menggunakan modal berbayar ini sebagai satu jumlah suntikan modal untuk keperluan operasi perniagaan. Modal berbayar diberikan kepada FICSB adalah pelaburan akan memberi pulangan dividen jika syarikat ini mendapat keuntungan,” katanya.

Saksi itu berkata, dana berjumlah RM100 juta adalah bayaran pendahuluan kepada FICSB bagi membiayai pembelian MPHS di Kuching.

“Dana ini adalah pendahuluan yang diberikan kepada FICSB melalui pinjaman yang FELDA peroleh daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Saksi itu turut mengesahkan dana yang diberikan FELDA kepada FICSB sebanyak RM1 juta disalurkan kepada anak syarikat itu sebagai pinjaman perlu dibayar balik oleh FICSB kepada FELDA.

“Saya juga sahkan dana berjumlah RM1.88 juta yang disalurkan kepada FICSB sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik anak syarikat itu kepada FELDA,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Leave a Reply

Top