Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pembayaran Atas Talian Pilihan Pelancong China

Pembayaran Atas Talian Pilihan Pelancong China

KUALA LUMPUR, Satu tinjauan yang dijalankan mendapati 65 peratus pelancong dari China menggunakan platform pembayaran mudah alih semasa melancong ke luar negara pada 2017, meningkat enam kali ganda berbanding 11 peratus pelancong bukan dari China.

Tinjauan yang dijalankan bersama oleh Nielsen Holdings Plc dan syarikat pembayaran mudah alih dan dalam talian, Alipay, itu bermatlamat menyediakan analisis mendalam mengenai pengunaan semasa dan amalam pembayaran pelancong dari China ke luar negara, selain menilai trend masa depan dalam penggunaan platform pembayaran secara mudah alih.

“Berdasarkan bilangan besar pelancong China yang mengunjungi Malaysia setiap tahun, pedagang dan industri tempatan perlu memahami pilihan ini dan menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk memenuhi kehendak pasaran yang pesat berkembang ini,” kata Pengurus Besar Perniagaan Rentas Sempadan bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara Alipay, Cherry Huang.

Tinjauan itu mendapati destinasi di Asia merupakan pilihan paling popular dalam kalangan pelancong dari China disebabkan pelbagai pertimbangan, seperti prosedur visa, harga berpatutan selain kemudahan pengangkutan.

Jepun, Thailand dan Korea selatan merupakan tiga pilihan utama, diikuti Singapura, Malaysia dan Maldives.

Tinjauan bertajuk ‘Pelancongan ke Luar Negara China dan Trend Penggunaan: Tinjauan 2017’ menunjukkan 28 peratus pelancong negara itu kini menggunakan pembayaran secara mudah alih, semakin menghampiri pengguna yang menggunakan kaedah pembayaran secara tunai, sebanyak 30 peratus.

“Berbanding dua tahun sebelum ini, jumlah pembayaran tunai semakin berkurangan berbanding pembayaran secara mudah alih yang semakin meningkat.

“Jumlah transaksi menerusi pembayaran mudah laih juga semakin meningkat, dengan 77 peratus pelancong dari China berbelanja lebih banyak menggunakan pembayaran mudah alih dalam kebanyakan lawatan ke luar negara berbanding lawatan sebelumnya, sejak dua tahun lepas.

Lebih 90 peratus pelancong dari China akan menimbang menggunakan pembayaran mudah laih dan membeli barangan dan perkhidmatan semasa berkunjung ke luar negara, jika lebih banyak pedagang menerima bentuk pembayaran seperti itu pada masa depan.

Huang berkata pelancong moden dari negara itu juga akan menggunakan kaedah pembayaran yang sama, yang mereka nikmati dalam negara, semasa melancong ke luar negara.

Leave a Reply

Top