MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Pembawa Usul Perlu Letak Jawatan Jika Gagal’

'Pembawa Usul Perlu Letak Jawatan Jika Gagal'

KUALA LUMPUR, Tindakan membawa usul undi percaya atau tidak percaya secara tiba-tiba ke Dewan Rakyat disifatkan mampu menjadi punca ketidakstabilan politik negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata jika tiada pertanggungjawaban, Parlimen terpaksa berdepan dengan usul undi tidak percaya setiap hari yang akan menggugat ketidakstabilan politik negara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Tuaran berkata, dalam negara yang mengamalkan demokrasi matang, individu yang membawa usul mengejut dan memecahbelahkan seperti undi percaya atau tidak percaya akan meletak jawatan jika percubaannya gagal.

“Individu itu secara budiman (gentleman) akan mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan itu. Kegagalan termasuk bila usul itu ditolak oleh Speaker kerana sudah tentu individu berkenaan tahu Speaker akan menolak usul yang tidak mengikuti peraturan mesyuarat Parlimen atau Perlembagaan Malaysia.

“Secara adilnya, jika usul itu berjaya, Perdana Menteri mesti letak jawatan dan kalau tidak berjaya, pembawa usul mesti letak jawatan.

“Persoalannya apakah Ahli Parlimen Semporna yang juga Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) mempunyai etika politik untuk meletakkan jawatannya? Kita tunggu dan lihat,” katanya menerusi Facebook.