Ketika PKR masih berharap untuk bekerjasama dengan PAS, pimpinan parti sekutunya dalam gabungan pembangkang tegas berpegang kepada keputusan Majlis Presiden pakatan itu untuk menutup pintu rundingan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata mereka berpegang kepada keputusan Majlis Presiden pakatan itu pada 29 Ogos lalu yang menutup pintu rundingan dengan PAS.

Beliau berkata keputusan itu sekali gus menutup sebarang ruang rundingan antara gabungan empat parti pembangkang, PKR, PPBM, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan PAS.

“Kalau ikut keputusan yang dibuat dalam Majlis Presiden, kita sudah tutup ruang itu (kerjasama dengan PAS). Mungkin dalam mesyuarat akan datang, kita akan dapatkan sedikit penjelasan daripada rakan-rakan dari PKR.

“Kita tak tahu bila (bermesyuarat) tetapi biasanya akan ditetapkan oleh pengerusi. Biasanya, semua yang dilantik dalam majlis itu akan hadir dan di situ kita akan mendengar pandangan daripada semua pihak.

“Setakat yang saya tahu, keputusan itu (tidak lagi berunding dengan PAS) sudah ‘final’ (muktamad). Cuma kita nak sedikit penjelasan daripada rakan kita di PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Pertama PPBM di sini, malam tadi.

Pada 29 Ogos lalu, empat parti dalam pakatan pembangkang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan bersedia untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun masalah timbul apabila sepucuk surat yang didakwa daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada PKR untuk meneruskan kerjasama dan rundingan dengan PAS.

Situasi itu mendapat reaksi pengerusi pakatan pembangkang Tun Mahathir yang mendakwa itu boleh memberi masalah kepada pembangkang.

Isu itu menjadi konflik dalaman yang dikatakan turut melanda kepemimpinan dalam pakatan pembangkang walaupun keputusan sudah dicapai sebelum itu.

Ia termasuk kenyataan Pengarah Pilihan Raya pakatan pembangkang, Datuk Seri Azmin Ali, yang mengingatkan Anwar juga mempunyai hak untuk menyuarakan cadangan dan pandangannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, ketika ditemui pada majlis sama mengakui keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PAS sudah dibuat dan ia dilaksanakan secara konsensus.

“Kami sudah buat keputusan sebarang perundingan dengan PAS sudah mencapai titik noktah. Jadi saya rasa, pimpinan tertinggi pakatan tertakluk kepada keputusan itu.

“Mengenai Azmin, saya rasa beliau tidak bermaksud demikian. Beliau hanya cuba untuk beritahu segala usahanya pada masa lalu (berunding dengan PAS) bukan usaha beliau sebagai seorang individu tetapi mendapat kebenaran daripada parti, termasuklah Anwar,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *