Tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar parti menunjukkan parti itu umpama dahan yang rapuh dan tidak mampu menjadi penyelamat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Merujuk perkembangan semasa, beliau berkata parti pembangkang gagal menyatukan anggotanya untuk terus kekal bersama parti.

Katanya dua hari lepas bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang sebelum ini bersama PKR telah kembali ke pangkuan UMNO.

Sebelum itu, bekas Penolong Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hasnita Hishamudin, bekas Setiausaha PPBM Kamarul Azman Habibur Rahman, Naib Presidennya Datuk Hamidah Osman dan Ketua Srikandi yang juga antara pengasas PPBM, Ainina Saidin turut bertindak keluar parti.

“Alasan mereka keluar parti kerana merasakan perjuangan pembangkang adalah sia-sia, bimbang melihat perpecahan orang Melayu, parti itu tidak pernah berjuang untuk kepentingan anggota dan rakyat kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi serta kroni, dan parti itu telah menjadi alat DAP.

“Pertanyaannya, bolehkah kita percaya kepada parti sebegini untuk memerintah negara kita?,” soal beliau dalam catatan terkini di blog sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Mengulas catatannya yang bertajuk “Pentingnya memilih parti yang kukuh”, Salleh memetik pandangan pakar pemasaran politik dari New Zealand, Lees-Marshment dalam bukunya ‘The Political Marketing Game (2011)’ yang menyatakan untuk menang dalam pilihan raya, sesebuah parti mesti mempunyai strategi pemasaran politik yang baik.

Menurut penulis itu, satu daripada strategi tersebut ialah berasaskan kepada pasaran, iaitu parti hendaklah mempunyai satu produk besar yang boleh dipasarkan kepada rakyat.

“Jika dalam konteks Malaysia, apakah produk tersebut? Tentunya produk itu ialah imej parti, sumbangan parti dan perpaduan parti.

“Dalam hal ini, hanya UMNO dan BN (Barisan Nasional) mempunyai rekod ini,” katanya

Salleh juga memetik catatan bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton dalam bukunya ‘Back to Work : Why We Need Smart Government for a Strong Economy’ (2011) yang menyatakan rakyat memerlukan kerajaan bijak untuk ekonomi yang kuat, selain kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang kukuh, bersatu, menjaga kebajikan rakyat dan tidak berpecah belah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *