MH Online

Laman Suara Rakyat

Pembangkang Ragui Sokongan Diterima Muhyiddin

Pembangkang Ragui Sokongan Diterima Muhyiddin

KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang hari ini, meragui jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat yang diperoleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan mustahil bagi Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan semalam.

“Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersama Ahli Parlimen Tuaran (UPKO), Simpang Renggam (Bebas), Selangau dan Sri Aman (PSB) menegaskan mereka tetap menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Kami juga kekal dengan pendirian Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presidan PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP,

Lim Guan Eng.

Selain itu; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu menarik semula kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memaklumkan beberapa Ahli Parlimennya sudah menyembah warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Muhyiddin pada sidang medianya tengah hari tadi pula memaklumkan masih mempunyai sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri dan bersetuju membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat bulan depan bagi mengesahkan keabsahannya.