Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 di Dewan Rakyat hari ini disebalik “gangguan” oleh beberapa anggota pembangkang sebelum beliau dapat membuat pembentangannya.

Perbuatan para anggota pembangkang itu yang membangkitkan beberapa perkara dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum anggota Parlimen Marang itu dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

Kerajaan sebelum ini berhasrat mengambil alih pembentangan rang undang-undang itu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan atas faktor semangat pemuafakatan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu beberapa anggota pembangkang yang bangun mencelah di awal sesi pembentangan itu termasuklah penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang minta penjelasan speaker dewan kenapa satu usul rang undang-undang persendirian yang dikemukakannya telah ditolak.

  1. Selepas diberi penjelasan oleh Pandikar Amin, Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) pula bangun bertanya sama ada aturan mesyuarat hari ini sengaja diatur supaya Abdul Hadi dapat membuat pembentangannya.

    Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula bertanya sama ada peraturan sama bagi melarang perbahasan Dewan Rakyat mengenai isu 1MDB terpakai kepada isu pindaan Akta 355 selepas Pandikar Amin dilaporkan telah menerima Notis Saman Pemula mengenai larangan itu yang dikemukakan oleh Muhammad Tawfik Ismail.

    Mengenai perkara itu, Pandikar Amin menegaskan bahawa Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang dan tiada pihak boleh mempertikaikan peranannya itu.

    “Tugas mahkamah ialah sama ada satu RUU yang diluluskan di Parlimen itu berperlembagaan atau tidak, Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang, anda tidak boleh halangnya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *