Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kesediaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berdebat dengan sesiapa sahaja daripada kerajaan termasuk beliau pada forum terbuka, Nothing To Hide 2.0, yang dijangka berlangsung pada 13 Ogos ini sebagai peluang terbaik.

Mohd Puad berkata, beliau berbesar hati dan menyerahkan kepada penganjur iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk menentukan tarikh dan tempat untuk forum debat itu nanti.

“Saya difahamkan Tun M (Mahathir) berkata bahawa dia OK dengan sesiapa pun boleh (untuk berdebat). Jadi saya berterima kasih kepada beliau kerana sedia untuk berdebat dengan sesiapa termasuk saya.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk bersemuka (dengan Tun M) dalam satu forum debat, yang mana sebelum ini kita saling menjawab di laman sosial..tetapi kali ini kita berpeluang untuk bersemuka.

“Forum debat ini bukan bukan soal suka-suka tetapi biar jadi landasan yang boleh dimanfaatkan rakyat untuk mendapatkan fakta yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri Jasa Terengganu di Dewan Pejabat Felda Wilayah Terengganu, Tepuh, di sini, semalam.

Menurut Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sekiranya perancangan itu terlaksana, beliau menyifatkan ia sebagai satu penghormatan buat dirinya.

“Saya sebenarnya banyak benda untuk dibangkitkan kepada beliau (Tun M), jadi peluang dan ruang ini sangat saya nantikan,” katanya.

Katanya, peluang itu juga perlu dimanfaatkan oleh rakyat untuk mengetahui fakta sebenar berhubung perkara yang sering dibangkitkan bekas perdana menteri itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Tun Mahathir yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membenarkan Mohd Puad berdebat dengannya pada forum terbuka, Nothing To Hide 2.0 itu dan beliau yakin dengan tafsirannya.

Terdahulu, Mohd Puad menyatakan kesediaannya untuk menggantikan Perdana Menteri pada forum Nothing To Hide 2.0 dan bersedia untuk menjawab segala soalan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *