MH Online

Laman Suara Rakyat

Pelepasan Kuota Melayu Bagi Enam Pemaju Perumahan Swasta Melaka Melebihi Sepatutnya

Kelemahan terhadap kawalan kuota Melayu untuk projek perumahan swasta di negeri ini antara lain menyebabkan pelepasan kuota Melayu untuk enam pemaju melebihi daripada sepatutnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Pengauditan dijalankan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka dan Lembaga Perumahan Melaka mendapati pelepasan melebihi sepatutnya itu juga menyebabkan pegangan minimum 30 peratus hartanah kuota Melayu di luar bandar dan 10 peratus di kawasan bandar tidak tercapai seperti yang ditetapkan.

Sepatutnya lima pemaju mengekalkan kuota Melayu minimum 30 peratus tetapi masing-masing hanya mengekalkan kuota 28 peratus, 25 peratus, 21 peratus dan 6.9 peratus, manakala satu lagi pemaju langsung tidak mengekalkan kuota Melayu. Satu lagi pemaju sepatutnya mengekalkan kuota 10 peratus sebaliknya langsung tidak mengekalkan apa-apa kuota Melayu.

Audit mengesan kelemahan pelaksanaan kawalan tersebut iaitu prestasi keseluruhan kuota Melayu tidak dapat diukur, pegangan minimum kuota Melayu di beberapa projek tidak tercapai, tiada pemantauan serta penguatkuasaan berkala, dan tiada pemantauan terhadap harga diskaun hartanah kuota Melayu.

“Pengurusan kuota Melayu terhadap projek perumahan swasta di negeri Melaka adalah memuaskan daripada aspek proses pelepasan kuota Melayu tetapi mekanisme kawalan kuota Melayu perlu diberi penekanan dan penambahbaikan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut kadar diskaun untuk penjualan hartanah kuota Melayu adalah antara lima dan 15 peratus berdasarkan kadar harga jualan antara RM25,001 dan melebihi RM200,000 namun PTG Melaka tiada kawalan terhadap diskaun tersebut.

“Tiada rujukan pengesahan harga jualan dilakukan kerana tiada peraturan atau garis panduan yang ditetapkan seperti syarat iklan jualan dan meletakkan harga jualan dalam iklan dikeluarkan,” kata laporan itu.

Sehubungan itu audit mengesyorkan penubuhan unit khas untuk pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan kuota Melayu dalam pemilikan hartanah terjamin.

Audit mengesyorkan penyediaan daftar utama sebagai rujukan mengenal pasti perubahan, pelepasan dan maklumat lain mengenai kuota Melayu; menguatkuasakan Sijil Layak Memiliki Rumah secara serta-merta bagi menghalang manipulasi harga diskaun; dan menguatkuasakan denda kepada pemaju yang ingkar arahan mengemuka laporan projek secara terperinci.

Sebanyak 8,045 unit hartanah dibangunkan 59 pemaju menerusi 63 projek telah diluluskan antara 2013 dan 2015 di negeri ini, dan daripada jumlah itu sebanyak 4,027 unit hartanah berada dalam kuota Melayu.