MH Online

Laman Suara Rakyat

Pelawak Veteran Pie Meninggal Dunia Akibat Sakit Tua

Pelawak veteran Pie atau nama sebenarnya Shafiee Jaafar, 85, meninggal dunia di rumah anaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang kira-kira pukul 9 malam Khamis akibat sakit tua.

Anaknya Subariah Shafiee, 53, berkata, sejak seminggu lalu kesihatan arwah semakin merosot dan tidak lalu makan selain kelihatan penat.

“Kesihatan arwah ayah semakin teruk sejak minggu lalu sehinggalah pada malam ini (Khamis) dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Teluk Bahang selepas solat Jumaat.

Sebelum ini Allahyarham pernah menjadi mangsa pengguna Internet apabila dia dikatakan sudah meninggal dunia namun pelakon itu meminta agar penyebaran berita palsu tersebut perlu dihentikan.

Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak berlakon dalam filem komedi antaranya Nana Tanjung, Anak Mami Kembali, Cinta Rosevilla, Bas Konduktor dan Mami Jarum.

Allahyarham juga sinonim bergandingan dengan teman baiknya yang juga berasal dari Pulau Pinang iaitu Maidin.

Selain berlakon, Allahyarham pernah menghasilkan album bersama Maidin dan juga M. Sharif.

Maidin meninggal dunia dalam solat pada 13 Ogos 2014.