MH Online

Laman Suara Rakyat

Pelajar Rugi RM99,040 Ditipu Macau Scam

Pelajar Rugi RM99,040 Ditipu Macau Scam

SEREMBAN, Sindiket Macau Scam di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes kira-kira 45 peratus khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kes terbaru membabitkan pelajar berusia 21 tahun rugi RM99,040.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata bagi tempoh enam bulan pertama hingga 16 Jun lalu, sebanyak 127 kes Macau Scam direkodkan dengan nilai kerugian RM3.6 juta.

Katanya, ia berbeza bagi tempoh sama tahun lalu apabila merekodkan sebanyak 72 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM1.5 juta.

“Seramai 60 individu ditahan bagi tempoh berkenaan tahun ini, manakala tempoh sama tahun lalu seramai 35 orang.

“Jelas berlaku peningkatan kes Macau Scam yang menunjukkan sindiket berkenaan semakin aktif terutama sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menunjukkan bilangan bertambah berbanding sebelum PKP dan PKPB dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengenai kes terbaharu, Aibee berkata, seorang pelajar perempuan berusia 21 tahun di sini, kerugian sebanyak RM99,040 selepas mangsa diperdaya menerusi panggilan telefon oleh tiga lelaki termasuk menyamar sebagai anggota polis.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 16 Jun lalu pada jam 1 tengahari, ketika mangsa berada di rumahnya di sini.

Menurutnya, mangsa diperdaya melalui panggilan telefon oleh beberapa lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan mendakwa namanya disalah guna untuk kes pengubahan wang haram dari akaun bank.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang yang mendakwa pegawai polis bernama Muhammad Redza yang memintanya memberikan semua maklumat berkenaan akaun pengadu.

“Mangsa memenuhi semua permintaan lelaki berkenaan termasuk memberi nombor TAC dan mangsa memberikan sebanyak 23 kali nombor berkenaan.

“Apabila semakan dalam akaunnya mendapati wang telah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali dan keseluruhan nilai kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM99,040,” katanya.

Aibee menasihatkan orang ramai tidak melayan apa juga panggilan yang meminta butiran berkaitan akaun atau jangan sekali menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada pihak tidak berkenaan.

“Pemilik akaun bertanggungjawab terhadap apa juga transaksi dan segera membuat pembatalan kad ATM jika sekiranya kad tiada dalam simpanan,” katanya.