SHAH ALAM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati pelajar Malaysia di Manchester supaya berwaspada serta tidak berkumpul dan menyertai sebarang diskusi mingguan khususnya di kediaman masing-masing pada masa ini bagi mengelak timbul rasa syak dan curiga dalam kalangan pihak berkuasa di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini berikutan penahanan tiga pelajar Malaysia oleh Polis Greater Manchester pada Isnin lepas, berkaitan insiden pengeboman di Manchester Arena yang mengorbankan 22 orang pada 22 Mei lalu.

“Kita nasihatkan supaya diskusi-diskusi yang dibuat setiap minggu buat masa ini kalau boleh dapat dielakkan supaya tidak menimbulkan syak dalam kalangan mereka yang melaksanakan penguatkuasaan.

“Begitu juga jangan izinkan buat sementara pelajar dari negara lain untuk datang ke kediaman pelajar kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meluangkan masa berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama warga KDN.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam mengesahkan menerima laporan bahawa tiga pelajar Malaysia telah ditahan untuk soal siasat oleh Polis Greater Manchester, kira-kira 5.40 petang waktu tempatan pada 29 Mei lepas, namun mereka dibebaskan pada 9 malam waktu tempatan.

Timbalan perdana menteri berkata meskipun telah dibebaskan, tiga pelajar itu masih trauma berikutan tindakan Polis Greater Manchester memasuki kediaman mereka dan memecahkan pintu-pintu yang berkunci.

Beliau berkata ketiga-tiga pelajar berkenaan kini ditempatkan di Malaysia Hall, Manchester.

Ahmad Zahid, bagaimanapun berpuas hati dengan siasatan oleh pihak berkuasa United Kingdom ke atas ketiga-tiga pelajar itu yang akhirnya mereka dibebaskan.

“Kita faham situasi di Manchester kerana Islamophobia berlaku bukan sahaja di negara-negara Eropah dan Amerika Utara tetapi di Manchester juga di mana ramai masyarakat Islam di sana.

“Dalam lawatan kerja dahulu, saya bertemu dengan pegawai-pegawai kanan polis di Manchester di mana mereka melakukan penglibatan dengan ulama-ulama dan pemimpin masyarakat Islam di Manchester,” katanya, sambil menambah bahawa penahanan pelajar Malaysia itu kemungkinan berlaku berpunca daripada salah faham dan laporan tidak baik pihak-pihak tertentu berkaitan aktiviti perjumpaan mingguan pelajar.

Ahmad Zahid juga memberi jaminan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom supaya tidak khuatir dengan siasatan oleh pihak berkuasa United Kingdom kerana kerajaan Malaysia saling bekerjasama dengan agensi risikan MI5 dan MI6 negara berkenaan.

“…dan jika ada pelajar kita yang disyaki (terbabit dalam aktiviti keganasan) tetapi tiada rekod (mengenai pembabitan itu) kita akan maklumkan kepada mereka (pihak berkuasa United Kingdom),” katanya.

Dalam insiden itu, dilaporkan sekurang-kurangnya 22 orang, termasuk kanak-kanak terkorban dan 59 cedera dalam letupan bom sebaik sahaja mereka yang menonton persembahan penyanyi Amerika Syarikat Arianna Grande, beredar dari tempat konsert tersebut.

Pihak polis menyifatkan letupan itu sebagai satu serangan pengganas, menurut laporan media.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *