MH Online

Laman Suara Rakyat

Pelajar Jadi Mangsa Serangan Seksual Warga Asing

Pelajar Jadi Mangsa Serangan Seksual Warga Asing

CHUKAI, Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki dipercayai warga asing, apabila dipeluk, dicium dan diraba dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kemasik, Air Jerneh, di sini, kelmarin.

Pelajar sebuah sekolah di Dungun itu menaiki bas ekspres dari Kuantan pada jam 6 petang untuk pulang ke sekolah dan berkenalan dengan suspek yang duduk di sebelahnya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata mangsa berbual dengan suspek sepanjang perjalanan dan suspek dikatakan menawarkan makanan yang dibelinya ketika bas dinaiki mereka berhenti rehat.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menolak tetapi memakan gula-gula yang ditawarkan lelaki terbabit selepas itu.

“Mangsa dikatakan ke perhentian bas berhampiran untuk mengemas begnya sebaik tiba di depan sekolahnya di Dungun sebelum bahunya ditepuk dari belakang dan dia tidak ingat kejadian yang berlaku selepas itu.

“Sebaik terjaga, mangsa mendapati dia berada di dalam sebuah bilik dan suspek yang masuk tidak lama kemudian berbaring di sebelah dan cuba memeluk namun mangsa mengelak.

“Suspek kemudian keluar untuk membeli makanan dan peluang itu digunakan mangsa menghantar mesej kepada rakannya yang mengarahkan mangsa melarikan diri,” katanya.

Mohd Said berkata, mangsa yang mahu keluar dari rumah berkenaan ditahan suspek yang bertindak memeluk, mencium dan meraba mangsa.

Katanya, mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan memukul suspek sebelum meminta bantuan pekerja di sebuah stesen minyak berhampiran supaya menghubungi balai polis.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Air Jerneh untuk tindakan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.