PEKAN, Seramai 150 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara berpeluang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang pesawat hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan National Aerospace Defence Technology Sdn Bhd (NADI).

Melalui MoU itu, pelajar berkenaan akan dilatih dalam bidang pembuatan pesawat, senggaraan mekanikal dan rombak rawat enjin turbin pesawat membabitkan tempoh sehingga enam bulan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi) KBS, Haslina Abd Hamid berkata NADI juga bersedia menaja dua pelajar terpilih daripada semester tiga dan semester akhir dengan elaun sebanyak RM100 sebulan, sehinggalah pelajar itu menjalani program latihan dalam pekerjaan.

“Pelajar itu kemudiaanya akan menerima elaun RM500 sebulan sepanjang mengikuti latihan dalam pekerjaan (selama tiga bulan pertama) sebelum layak ditawarkan gaji mengikut Sijil Kemahiran Malaysia atau kelulusan lain yang mereka (pelajar) miliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Antara KBS Bersama NADI di IKBN Pekan, di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia) KBS, Dr Ir Azmi Ahmad dan Pengarah Pentadbiran NADI, Datuk Ahmad Nadzer Nordin.

Melalui perjanjian itu, KBS bersama NADI akan menyediakan bukan sahaja latihan kepada pelajar IKBN, tetapi turut menyediakan kurikulum bersesuaian serta sumbangan peralatan bagi latihan mengikut keperluan kursus ditawarkan, selain teknologi baharu industri aeroangkasa dan pertahanan secara intensif.

Bagi tenaga pengajar IKBN pula, seramai 50 daripadanya berpeluang mengikuti latihan sangkutan industri dengan NADI dalam bidang pembuatan struktur pesawat, senggaraan mekanikal dan rombak rawat enjin turbin.

Sementara itu, Ahmad Nadzer berkata NADI melalui anak syarikatnya, SME Aerospace Sdn. Bhd. yang beroperasi di Sungai Buloh, Selangor telah pun menerima tujuh pelatih dan tiga tenaga pengajar bagi mengikuti latihan yang dipersetujui.

“Diharapkan dengan adanya kursus seperti ditawarkan IKBN akan dapat membantu pihak industri dan negara di dalam mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja berkaitan dengan industri aeroangkasa pada masa depan,” ujarnya.

Beliau juga berharap kerjasama itu merancakkan lagi usaha kerajaan dan pihak industri melatih anak watan agar menjadi modal insan yang berdaya saing, dinamik serta mempunyai tahap survival yang tinggi bagi mengharungi cabaran mendatang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *