MH Online

Laman Suara Rakyat

Pelajar Bermasalah Jalani Pemulihan Di Penjara

TAMPIN, Pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap tidak lama lagi.

Menterinya Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah itu adalah satu usaha untuk memerangi gejala sosial di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya sedang merangka program itu dan akan siap tidak lama lagi sebelum diperkenalkan secara rasmi.

“Buat permulaan, program ini akan membabitkan kumpulan pelajar yang sudah digantung persekolahan selama enam bulan disebabkan masalah yang disiplin serius, termasuk buli.

“Mereka akan dihantar ke penjara, lokap polis dan Sekolah Henry Gurney dalam tempoh tertentu sepanjang menjalani penggantungan, untuk melihat sendiri bagaimana pesalah lebih serius daripada mereka menjalani hukuman.

“Kita berharap mereka insaf dengan pengalaman berada di tempat sedemikian seterusnya berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tampin di Dewan Perdana, di sini, hari ini.

Semalam, Mahdzir mendedahkan kementeriannya mengenal pasti empat elemen yang menjadi penyebab berlakunya peningkatan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, faktor pemakanan, persekitaran, teknologi dan masyarat menyebabkan pelajar pada masa kini menjadi lebih nakal daripada kebiasaan.