Kata Penasihat Media Perdana Menteri itu, menteri-menteri tidak boleh menyerahkan semua perkara kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja dan perlu berani menonjolkan diri dalam taklimat pelaburan serta persidangan antarabangsa.

“Menteri yang memegang portfolio ekonomi, kewangan dan perdagangan khususnya perlu jadi jaguh kampung dan jaguh dunia.

“Saya menyampah dengan keengganan beberapa menteri penting membina hubungan dengan usahawan tempatan serta antarabangsa, pelabur dan pengurus dana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menulis catatan dalam laman blog miliknya, The Scribe selepas menghadiri Forum Asia 2019 anjuran Nomura Holdings Incorporated di Singapura, minggu lalu.

Dalam forum tersebut, beliau hadir bersama Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid.

Menurut A. Kadir, pelabur-pelabur luar menyuarakan keyakinan mereka terhadap pemerintahan Dr. Mahathir namun mereka sedikit risau dengan peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta ‘permainan kaum dan agama’ yang dibawa pembangkang, iaitu UMNO dan Pas.

Menjelaskan tentang peralihan kuasa, beliau memberitahu pelabur yang hadir bahawa peralihan tersebut telah dipersetujui sebagai satu janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pelabur luar tidak perlu bimbang memandangkan Anwar sendiri sudah memaklumkan bahawa beliau tidak terburu-buru untuk mengambil alih dan selepas peralihan itu, Dr. Mahathir akan terus memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

“Tentang kebimbangan mereka akan berlaku pusingan-U dalam pelaksanaan dasar selepas peralihan, saya tegaskan bahawa ia tidak akan berlaku kerana Anwar sendiri memainkan peranan aktif menyusun dasar negara melalui kapasiti beliau sebagai ahli Majlis Presiden PH dan melalui rundingan lazim beliau bersama Perdana Menteri.

“Juga, setelah melihat kerjasama dan konfrontasi antara Dr. Mahathir dengan Anwar sejak 1982 (ketika Anwar menyertai UMNO), saya tidak fikir Perdana Menteri menunggu itu akan mengulangi kesilapan lampau,” katanya.

Menurut beliau, dua bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak telah membayar harga yang besar akibat cuba mengetepikan atau membunuh legasi Dr. Mahathir.

Berkenaan permainan kaum dan agama yang didakwa digunakan oleh UMNO dan Pas, A. Kadir berpendapat ia akan diteruskan kerana kedua-dua parti itu lemah dari aspek lain dan dicemari isu rasuah serta pendanaan politik rahsia.