Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pekebun RISDA Terima BMT

Pekebun RISDA Terima BMT

PUTRAJAYA, Seramai 274,639 pekebun kecil getah di seluruh negara yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bantuan berkenaan akan dibayar dalam dua peringkat iaitu pada akhir tahun ini berjumlah RM300 dan baki RM300 pada awal tahun depan.

“Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu bersetuju memperuntukkan RM164,783,400 sebagai bantuan kepada 274,639 pekebun kecil getah RISDA yang berhadapan dengan beban sara hidup berikutan pendapatan mereka terjejas semasa musim tengkujuh.

“Kesukaran pekebun kecil getah RISDA mendapat perhatian dan keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata berdasarkan pecahan jumlah penerima, seramai 255,997 pekebun kecil getah adalah pemilik yang mengusahakan sendiri kebun mereka dan 18,642 penoreh bukan pemilik yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan berkenaan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia RISDA.

“Semoga pemberian bantuan ini dapat meringankan beban ditanggung oleh pekebun kecil getah RISDA yang terjejas punca pendapatan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Top