Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pegawai Bank Ditipu Skim Pinjaman Tidak Wujud

Pegawai Bank Ditipu Skim Pinjaman Tidak Wujud

LIPIS, Walaupun bekerja sebagai pegawai bank, namun seorang wanita di sini berputih mata apabila kerugian RM1,960 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud melalui aplikasi whatsapp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 15 Oktober lalu, mangsa berusia 38 tahun itu menerima mesej whatsapp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Nithyanadhan wakil daripada syarikat Maju Jaya Sdn Bhd yang menawarkan pinjaman peribadi

Beliau berkata, selepas perbincangan, suspek lelaki itu menawarkan pinjaman peribadi kepada mangsa sebanyak RM30,000 dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM356.89 selama tempoh 10 tahun.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju dengan tawaran yang diberikan dan suspek menetapkan beberapa syarat bagi meluluskan pinjaman berkenaan.

“Mangsa kemudian diminta membuat beberapa pembayaran termasuk untuk tujuan bayaran upah peguam, keselamatan akaun, duti setem dan pembayaran perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat empat kali pindahan wang pada 26 Oktober lalu ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,960.

“Suspek memaklumkan bahawa wang pinjaman akan dimasukkan setelah mangsa membuat pembayaran sebanyak RM2,178 untuk bayaran insuran, namun mula curiga dan membatalkan niatnya untuk membuat pinjaman itu.

“Bagaimanapun, Selasa lalu, mangsa cuba menghubungi suspek untuk meminta balik wang yang diberikan kepada suspek, namun mendapati talian itu sudah disekat dan gagal dihubungi. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini, semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan mengenalpasti suspek berdasarkan nombor akaun bank yang digunakan bagi tujuan transaksi wang.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Leave a Reply

Top