Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PDRM Akan Tambah Anggota

PDRM Akan Tambah Anggota

KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah keanggotaan dan memperbesarkan lagi Unit Tindak Khas (UTK) dan Komando VAT 69 dalam memerangi jenayah dan ancaman di negara ini.

Tanpa mendedahkan jumlah penambahan keanggotaan, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perkara itu telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kertas dasar penambahan berhubung perkara tersebut telah dihantar kepada agensi pusat dan sedang berada dalam pertimbangan Ketua Setiausaha Negara untuk permohonan.

“Ketika ini UTK dan VAT 69 hanya mempunyai keanggotaan seramai lebih 400 dan penambahan itu akan dibuat dua hingga tiga tahun lagi.

“UTK dan VAT 69 akan meneruskan legasi dan PDRM sedang perkembangkan kemampuan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai perkembangan tujuh individu ditahan pada 27 Feb hingga 15 Mac lepas kerana disyaki merancang melancarkan serangan ke rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh polis, Mohamad Fuzi berkata mereka mempunyai sasaran individu yang spesifik untuk melakukan ancaman.

“Saya tidak akan dedahkan sasaran spesifik mereka kerana masih dalam siasatan dan apa yang kami tahu, mereka sasarkan untuk menyerang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Oleh yang demikian, saya telah arahkan semua IPK dan IPD meningkatkan tahap kawalan dan keselamatan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Top