MH Online

Laman Suara Rakyat

PBT Perlu Akur Keputusan MITI

PBT Perlu Akur Keputusan MITI

KUALA LUMPUR, Pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya membenarkan operasi semua sektor ekonomi yang dibenarkan kerajaan pada fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berbuat demikian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepatutnya tidak wujud perbezaan kebenaran apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan semua sektor ekonomi beroperasi dengan kapasiti penuh tanpa sekatan.

Katanya, kekeliruan itu ada dibincangkan dalam mesyuarat hari ini dengan tindakan sudah dan akan di ambil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dimaklumkan kepada PBT.

“Saya hendak tegaskan di sini, walaupun kebenaran diberikan untuk 100 peratus pekerja bekerja semula, ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Penjarakan sosial masih perlu dipatuhi syarikat atau kilang yang dibenarkan beroperasi. Maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh diperoleh daripada MITI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, dekat sini, hari ini.