Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PBB Digesa Campur Tangan Konflik AS-Iran

PBB Digesa Campur Tangan Konflik AS-Iran

KUALA LUMPUR, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa segera mengambil pendirian dan ketetapan berhubung ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menggesa AS dan Iran supaya mengadakan dialog untuk mencapai kesepakatan serta kestabilan berikutan konflik yang tercetus antara kedua-dua negara itu.

Selain itu, beliau berkata, semua kuasa demokratik dan aman perlu tegas meminta AS serta Iran tidak membiarkan krisis yang sedang melanda Asia Barat melarat sehingga mengakibatkan peperangan.

“Saya ambil maklum mengenai perkembangan terkini berkaitan di Asia Barat. Tidak ada negara boleh menceroboh atau menyerang negara lain, selaras undang-undang antarabangsa.

“Ia bukan hanya menjejaskan warga Iran, malah Iraq juga sudah mengarahkan tentera AS untuk berundur dari negara itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap markas udara menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Iraq bagi membalas dendam.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dilapor mengesahkan ia bagi membalas dendam atas kematian komander tertinggi pasukan itu, Qasem Soleimani, dalam serangan dron AS di Iraq pada Jumaat lalu.

Dalam serangan awal pagi itu, Iran dilapor melepaskan sekurang-kurang 12 peluru berpandu ke pangkalan tentera AS dan tentera bersekutunya di Ain al-Asad serta Erbil, Iraq.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pula menzahirkan dukacita terhadap insiden pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines yang membawa 167 penumpang bersama sembilan kru penerbangan, terhempas di Iran dan mengorbankan semua mangsa, hari ini.

“Walaupun berita mengenai insiden ini menjelaskan ia berpunca daripada masalah teknikal, kita tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit sehingga fakta mengenainya ditentukan pihak berkuasa.

“Saya bersimpati dan mendoakan kesejahteraan semua waris kepada mangsa yang terbabit dalam nahas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Top