Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Paul Allen Meninggal Dunia

Paul Allen Meninggal Dunia

Pengasas bersama gergasi perisian Microsoft, Paul Allen meninggal dunia semalam pada usia 65 tahun selepas sekian lama bertarung dengan penyakit kanser.

Jutawan terkemuka itu, meninggal dunia selepas dua minggu mengumumkan bahawa kanser limfoma yang pernah dihidapi sembilan tahun lalu, kembali menyerang dan menjejaskan keseluruhan sel darah putihnya.

Selain merupakan pemilik pasukan sukan ‘football’ profesional Amerika Syarikat (AS) iaitu Seattle Seahawks dan pasukan bola keranjang Portland Trail Blazers, Allen turut menguruskan perniagaannya serta aktif membabitkan diri dalam Institut Allen yang mengkhusus kepada penyelidikan saintifik.

Terdahulu, Allen bersama-sama rakan sekolahnya, Bill Gates menubuhkan Microsoft pada 1975, namun pada 1983 beliau meninggalkan syarikat berkenaan susulan diagnosis pertama berkaitan penyakit kansernya.

Setelah kembali pulih, Allen menubuhkan firma pelaburan media dan komunikasi, Vulcan Inc pada 1986 dan berjaya meletakan dirinya sebagai antara jutawan perniagaan berjaya di AS, Forbes menganggarkan mendiang memiliki aset berjumlah AS$20.3 bilion (RM84.34 bilion). – AFP

Leave a Reply

Top