Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Pasukan Tentera Kecam Hukuman Mati Musharraf

Pasukan Tentera Kecam Hukuman Mati Musharraf

Bekas pemimpin tentera Pakistan dalam buangan, Pervez Musharraf dijatuhi hukuman mati semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan mengkhianat, keputusan segera yang dikecam pasukan tentera memerintah negara itu hampir separuh daripada sejarah 72 tahunnya.

Keputusan mahkamah itu menandakan kali pertama bekas pemimpin pasukan tentera disabitkan atas tuduhan mengkhianat dan dijatuhi hukuman mati di Pakistan, di mana tentera mengekalkan pengaruh kuat dan pegawai kanan dilihat sering kebal daripada pendakwaan.

Musharraf, 76, hidup dalam buangan sejak larangan perjalanan ditarik balik pada 2016, membolehkan bekas pemimpin itu mendapatkan rawatan di luar negara.

Beliau dilihat banyak menghabiskan masanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan London, United Kingdom.

Beberapa sumber media Pakistan melaporkan, keputusan dan hukuman dijatuhkan oleh tiga anggota mahkamah khas, sementara seorang pegawai perundangan mengesahkan keputusan itu kepada AFP.

Tentera Pakistan mengecam keputusan mahkamah khas itu, mengatakan dalam satu kenyataan, pasukan tentera berada dalam ‘kesakitan dan penderitaan’ berikutan keputusan itu.

“Seorang bekas Ketua Tentera, Pengerusi Jawatankuasa Turus Kakitangan Tentera dan Presiden Pakistan yang berkhidmat untuk negara selama lebih 40 tahun, berjuang dalam peperangan mempertahankan negara, sudah pasti bukan seorang pengkhianat,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Ia menambah, proses perundangan ‘kelihatan tidak diendahkan.’

Perbicaraan bermula pada 2013 dan antara yang membabitkan Musharraf. Ia berpusat berhubung keputusannya menggantung perlembagaan dan melaksanakan pemerintahan darurat pada 2007, menurut peguamnya, Akhtar Shah.

Tindakan itu mencetuskan bantahan meluas ke atas Musharraf, pada akhirnya menjurus peletakan jawatan beliau berikutan berdepan prosiding pemecatan.

Akhtar berkata, bekas jeneral itu ketika ini sakit dan berada di Dubai. Katanya, tiada keputusan dibuat sama ada untuk merayu atau tidak. -AFP

Leave a Reply

Top