Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jawatankuasa Siasatan 1MDB dipercayai mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, hari ini.

Ini berikutan, ketua bersama pasukan khas dan pengerusi serta ahli jawatankuasa berkenaan dilihat memasuki menara berkenaan.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilihat memasuki Menara Ilham kira-kira jam 2 petang.

Ini diikuti bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull, kira-kira lima minit kemudian.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota pasukan berkenaan iaitu bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Hamid Bador, tidak kelihatan.

Mereka mengetuai bersama pasukan khas itu.

Kira-kira 15 minit selepas itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB, tiba di menara berkenaan.

Ia disusuli dua lagi anggota jawatankuasa berkenaan iaitu Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman dan Rakan Kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan butiran pertemuan berkenaan.

Semalam, Abu Talib dilaporkan berkata Jawatankuasa Siasatan 1MDB masih dalam peringkat menentukan terma dan syarat berkaitan siasatan yang bakal dijalankan.

Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes.

Pasukan itu akan membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *