MH Online

Laman Suara Rakyat

Pasar Malam Dan Pasar Tani Tak Boleh Operasi Sehingga 31 March

Pasar Malam Dan Pasar Tani Tak Boleh Operasi Sehingga 31 March

KUALA LUMPUR, Semua pasar malam dan pasar tani tidak boleh dibuka untuk jualan dan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan perkara itu termaktub dalam larangan perintah itu yang mana semua pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya dilarang sama sekali.

“Untuk menguatkuasakan larangan itu, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Yang disebut hanya pasar yang mempunyai struktur bangunan yang kekal sahaja tidak termasuk Pasar Tani dan Pasar Malam.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga ada mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan pasar tani tidak dibuka sepanjang tempoh dua minggu ini,” kata kenyataan itu.

Untuk membolehkan orang ramai mendapatkan barang keperluan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, kementerian akan membuka 17 Pusat Operasi terpilih sebagai pusat jualan sementara yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan bekalan barang keperluan dari FAMA melalui pembelian secara dalam talian di www.agrobazaar.com.my.

Bagi mendapatkan ikan segar dan produk hasil perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan meneruskan jualan ikan segar di Pasar Nelayan dan bagi penduduk Lembah Klang, Putrajaya, Shah Alam dan Klang.

Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) juga menjual ikan segar dan produk hasil perikanan secara online melalui nekmatbiz.com.my.

Dalam perkembangan yang berkaitan, kementerian itu memaklumkan operasi pertanian, penternakan, perikanan, akuakultur masih boleh diteruskan bagi memastikan bekalan bahan makanan mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Namun, menurut kementerian itu, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil oleh petani, penternak dan nelayan dengan mengehadkan jarak dan kontak minimum dengan orang lain serta menjalani pemeriksaan kesihatan jika perlu.

Dalam masa yang sama penternak ikan dan nelayan dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminimumkan kontak dengan orang lain; mengamalkan konsep penggiliran kerja supaya dapat mengurangkan jumlah pekerja di ladang; meneruskan operasi ternakan seperti biasa dengan tenaga kerja yang minimum; meneruskan pemasaran ikan demi kecukupan bekalan makanan dan menangguhkan kemasukan benih ikan ke kolam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.