Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Yakin PH Akan Hilang Wang Deposit

PAS Yakin PH Akan Hilang Wang Deposit

KOTA BHARU, PAS yakin Pakatan Harapan (PH) di Kelantan akan hilang wang deposit selain tidak ada lagi wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) di Parlimen jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata beliau yakin PH sendiri tidak mahu PRU sekarang ketika rakyat dan negara sedang berhadapan dengan pendemik COVID-19.

“Saya yakin rakyat sendiri seboleh-bolehnya mahu sebuah kerajaan yang mantap dan tiada pergolakan politik di peringkat pimpinan yang boleh menyusahkan rakyat.

“Kita tidak ‘mengalukan’ PRU tetapi lebih mengutamakan kepentingan serta perasaan rakyat selain menitik beratkan kehidupan dan kesusahan rakyat yang masih berlaku hari ini.

“Namun begitu, jika PRU tetap diadakan, PAS bersedia bagi memastikan Muafakat Nasional atau kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat kejayaan besar,” katanya selepas melawat kawasan ternakan ikan kelah di Kampung Chicha, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, kerajaan pimpinan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuka ruang di Parlimen untuk pihak pembangkang berbahas serta mengemukakan masalah rakyat dan pastinya kerajaan bersedia menjawab setiap persoalan terbabit.

Sementara itu mengulas mengenai lawatannya itu, Che Abdullah berkata, kerajaan menyediakan peruntukan bagi membantu kumpulan nelayan dan usahawan dalam bidang penternakan.

“Saya berharap golongan muda dapat menceburi bidang penternakan ikan yang dilihat mempunyai jaminan yang baik untuk berjaya,” katanya.

Leave a Reply

Top