Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Ucap Terima Kasih Pada JPA

PAS Ucap Terima Kasih Pada JPA

KUALA LUMPUR, PAS berharap keputusan menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kekal dengan kajian penambahbaikan dilakukan.

Sambil berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas keputusan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan itu selari dengan keadaan penjawat awam dalam 33 skim perkhidmatan yang kurang kakitangan dengan beban tugas yang berat.

PAS juga mencadangkan kerajaan menaikkan kadar elaun ‘on call’ dalam kalangan doktor khususnya pegawai perubatan (MO).

“Sebahagian mereka bekerja lebih 24 jam atau ‘Every Other Day’ (EOD) demi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kerajaan mesti mempedulikan kebajikan doktor. Selain penambahan kakitangan, elaun ‘on call’ juga harus dinaikkan pada satu kadar yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata parti itu juga mahu kerajaan membentangkan situasi sebenar nisbah doktor dan pesakit mengikut negeri.

Berdasarkan maklumat yang diterima, jumlah doktor di Sabah dan Sarawak sangat berkurangan berbanding jumlah pesakit.

Katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif segera menyelesaikan isu pegawai kesihatan yang masih lagi berstatus dan bergaji kontrak walaupun sudah setahun menjadi MO.

“PAS berharap isu penting terutama membabitkan sektor sosial dan keselamatan negara perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya.

JPA semalam mengumumkan penangguhan pemansuhan BIPK yang dijadual bermula 1 Januari lalu, hingga kajian semula mengenainya dilaksanakan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman memaklumkan kajian mengenai pelaksanaan pemansuhan BIPK itu akan dilaksanakan dengan pihak berkaitan dan diputuskan Kabinet.

Leave a Reply

Top