MH Online

Laman Suara Rakyat

PAS Tetap Sokong BN

PAS Tetap Sokong BN

CHUKAI, PAS menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai pertemuannya bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah bersifat politik yang memanipulasi pertemuan.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata beliau dimaklumkan bahawa pertemuan antara Presidennya dengan Perdana Menteri hanya membincangkan berkenaan soal pentadbiran negeri, wang royalti minyak dan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN).

Bagaimanapun, Nasrudin berkata beliau tidak dimaklumkan sebarang maklumat berhubung pendedahan Perdana Menteri itu, malah beliau turut terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri itu.

“Saya ada bertanyakan mengenai perkara ini kepada Presiden sendiri tadi, beliau pun kata tiada apa-apa… pertemuan itu seperti mana diberitahu beliau pada majlis semalam (Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Alor Limbat),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ijtimak Siber Malaysia yang turut dihadiri Hadi di sini, hari ini.

Nasrudin berkata, jika dilihat daripada sikap pimpinan parti untuk penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini, menunjukkan tiada masalah kerana antara yang turun hadir memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) adalah Naib Presidennya, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria.

“Malah, pada penamaan calon tadi pun kita memberi sokongan kepada calon BN sebagai team (pasukan) pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, pada pertemuan antara Perdana Menteri dan Presidennya itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS sendiri, namun Takiyuddin turun padang memberi sokong kepada calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih hari ini.

“Saya tidak tahu bagaimana beliau (Dr Mahathir) boleh mengeluarkan kenyataan demikian sedangkan pimpinan PAS tidak ada memaklumkan perkara itu.

“Sama ada saya kena dapatkan penjelasan lanjut atau saya kira kenyataan Perdana Menteri itu hanyalah kenyataan politik bersifat memanipulasi pertemuan Allahu A’lam… tapi saya terkejut dengan kenyataan itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih dan mendakwa mempunyai pengakuan secara bertulis dan ditandatangani ketika pertemuannya dengan Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhari semalam.