Pas Kawasan Kuala Terengganu mendesak Pas Pusat memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR.

Perkara itu yang diusulkan Pas Cawangan Kampung Padang dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-42 di Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, di sini.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usul tersebut diterima selepas dibahaskan dan diterima perwakilan yang mengambil kira beberapa perkara termasuk hubungan dengan PKR di negeri ini.

“Ini kerana tindak-tanduk PKR yang tidak menjaga sensitiviti rakan tahalluf siyasi (Pas) di Terengganu dengan bekerjasama dengan Amanah termasuk memberi ucapan atau ceramah yang memberi gambaran buruk kepada Pas.

“Ini menunjukkan mereka tiada semangat setia kawan,” katanya kepada portal berita online, di sini.

Menurutnya, usul lain yang dipersetujui pihaknya adalah meminta Pas meletakkan kesemua calon-calon Pas di semua kawasan di Terengganu termasuk di Dun Bandar yang ketika ini disandang wakil rakyat PKR.

“Selain itu, ada empat usul yang diterima tanpa bahas dan salah satunya adalah memastikan calon-calon yang bertanding terdiri daripada calon Pas dan berpendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu, keputusan pemilihan bagi Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu mengekalkan gandingan Wan Sukairi sebagai Yang Dipertua Pas kawasan dan juga Hamzah Ngah sebagai timbalannya bagi sesi 2017-2019 untuk meneruskan agenda Pas kawasan pada sesi kali ini.

Manakala naib yang dipertua disandang oleh Ahmad Amzad Hashim yang merupakan Ketua Penerangan Pas kawasan pada sesi lepas.

Jawatan pengerusi tetap Pas kawasan disandang Suhaimi Taib manakala timbalannya disandang oleh Napisol Ismail.

Bagi jawatan ketua urusan ulama kawasan, ketua pemuda Pas kawasan dan ketua muslimat Pas kawasan kekal disandang orang lama masing-masing ialah Halias Abu Bakar, Mohd Azrin Mohd Arif dan Shamsiah Abu Bakar.

Bagi jawatan ahli jawatankuasa (AJK) Pas kawasan, empat daripada 16 orang merupakan muka baharu iaitu Zaiton Abbas, Rahimah Muda, Abu Bakar Salleh dan Ahmad Sharifuddin Ibrahim.

AJK lain yang kekal ialah Ahmad Kamal Ali, Mohd Soud Said, Aidil Adha Tahir, Wan Mohd Faizul Wan Abas, Ahmad Shah Mohamed, Zuraida Md Noor, Dr Hamdan Mohamed, Mohd Al- Ghazali Abu Bakar, Azmi Mat Yasin, Salleh Abdullah, Md Nordin Ali dan Othman Yusof.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *