MH Online

Laman Suara Rakyat

PAS Tangguh Semua Program Parti

PAS Tangguh Semua Program Parti

MARANG, PAS menangguhkan semua program rasmi bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata penangguhan itu berkuat kuasa serta merta sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak.

Bagaimanapun, katanya jika ada keperluan untuk menganjurkan sesuatu program, ia harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Susulan kes COVID-19 yang meningkat, parti diarah menangguhkan semua program umum sehingga mendapat pencerahan daripada Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti antaranya, Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki serta Ketua Dewan Pemuda, Khairil Nizam Khirudin.

Ketika ditanya adakah pertemuan itu turut menyentuh mengenai cadangan pelantikan wakil PAS bagi menganggotai Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menjelaskan parti itu akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Insya-Allah kita akan minta diaturkan ulang tahun Piagam MN dan tarikhnya akan ditentukan apabila kita berjumpa dengan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mengambil sikap berkecuali susulan tuduhan penyokong Pakatan Harapan (PH) kononnya MN dan PN menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di negara ini menerusi penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kita tidak mahu campur, kita dah menang di Sabah dan langkah selanjutnya akan dibincangkan sesama kita,” katanya.