Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Masih Berharap RUU355 Dapat Dibentang

PAS Masih Berharap RUU355 Dapat Dibentang

KOTA BHARU, PAS Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberi ruang kepada mereka membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata kerajaan negeri juga berharap Kerajaan Persekutuan bersikap lebih terbuka dalam isu membenarkan rang undang-undang persendirian itu atau RUU355 dibentang di persidangan Parlimen akan datang.

“RUU355 ini dibawa ke Parlimen sejak zaman kerajaan terdahulu untuk pinda tetapi tidak berjaya.

“Sekarang kini kita berharap ada ruang (untuk bentang RUU355 di Parlimen) walaupun kita sedar agak sukar.

“Perkara ini tidak boleh dibincang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ia adalah kuasa Kerajaan Pusat dan kena bincang di Parlimen. Ia sepatutnya ditanya kepada menteri berkaitan (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof),” katanya di sini, hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata soal pembentangan RUU355 bukanlah soal politik tetapi ia adalah tuntutan agama.

“Kami (PAS Kelantan) sentiasa berusaha ke arah itu dan sehubungan itu, kita semua perlu ketepikan kepentingan politik.

“Kita tidak boleh letakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Semua orang Islam bertanggungjawab mengenai hal ini dan orang bukan Islam tiada hak. Ini membabitkan orang Islam saja,” katanya.

Menurutnya, segala persiapan ke arah melaksanakan undang-undang itu sudah lama dibuat oleh kerajaan negeri.

Pada Oktober tahun lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS menangguhkan sementara pembentangan RUU355 itu selepas dibentangkan kali ketiga pada persidangan Parlimen April tahun lalu.

Leave a Reply

Top