Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Mahu Kerajaan Lunaskan Bayaran BMT

PAS Mahu Kerajaan Lunaskan Bayaran BMT

KUALA LUMPUR, PAS mendesak kerajaan melunaskan bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil di seluruh negara yang tertunggak sejak bulan lalu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan yang sepatutnya disalurkan selama tiga bulan itu termaktub dalam Belanjawan 2018 pimpinan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, pembayaran belum dibuat sehingga kini.

“Sekarang dah bulan Disember, sepatutnya bayaran diperoleh sejak bulan lalu kerana peruntukan sudah diluluskan di Parlimen.

“Persoalannya, mana dana yang sudah diluluskan itu?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai bagi setiap tan sawit pada kadar RM350 seperti yang dituntut Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI).

Katanya, kejatuhan harga sawit membuatkan peneroka menanggung kos tinggi.

“Peneroka turut berharap kerajaan membayar hasil sawit setiap dua minggu sekali bagi meringankan beban peneroka,” katanya.

Pagi tadi, lebih 300 peneroka berkumpul di hadapan pagar bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum berhubung isu FELDA.

Leave a Reply

Top