MH Online

Laman Suara Rakyat

PAS Kemuka Undi Percaya Kepada PM

PAS Kemuka Undi Percaya Kepada PM

KUALA LUMPUR, PAS akan mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, untuk dibentang serta dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Beliau berkata, PAS yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan, malah sanjungan dari rakyat pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Takiyuddin berkata, PAS amat yakin usul itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

“Dengan sokongan yang bakal diberikan, sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat,” katanya.