Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Kecewa AMANAH Tidak Pertahan Islam

PAS Kecewa AMANAH Tidak Pertahan Islam

KANGAR, PAS kecewa dengan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat tidak lantang mempertahankan Islam daripada fitnah semasa yang melanda selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata AMANAH juga tidak mampu bertindak tegas dalam mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya kecewa kerana mereka (AMANAH) tidak melakukan perkara yang boleh menyenangkan orang Islam dalam negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Setiap kenyataan daripada menteri AMANAH berhubung isu LGBT dan perkara lain yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini jelas tidak menggembirakan kita,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau menyertai Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Hashim berkata, beliau tidak menyangka UMNO yang dahulunya seteru utama PAS, kini bersama dengan parti itu dalam membela Islam dan menolak perkara yang boleh mengancam agama Islam dan hak orang Melayu khususnya ICERD.

“Dulu sewaktu mereka (pemimpin AMANAH) bersama PAS, memang baik sungguh…kita sanggup tidur di mana saja termasuk atas sejadah demi mempertahankan kesucian Islam.

“Tapi siapa sangka mereka (AMANAH) pula yang menjadi musuh dan UMNO kembali bersama PAS demi mempertahankan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama politik antara UMNO dan PAS pada masa hadapan, Hashim berkata, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan jika perkara itu berlaku.

“Saya gembira dan ini (kerjasama) adalah satu rahmat dan era baru akan terbentuk dalam arena politik pada masa akan datang,” katanya.

Pada himpunan itu, kira-kira 1,000 hadirin terdiri daripada penyokong kedua-dua parti itu berhimpun bagi menyatakan sokongan Himpunan Membantah ICERD yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini di ibu negara.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Leave a Reply

Top