MH Online

Laman Suara Rakyat

PAS Dukacita Dengan UMNO

PAS Dukacita Dengan UMNO

KOTA BHARU, Tindakan UMNO mengumumkan penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendukacitakan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu mengejutkan kerana Pas meletak sasaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertahan sehingga Parlimen dibubarkan, sebagaimana pendirian UMNO juga.

“Apa pun, Pas masih berdiri teguh dan menyokong Perdana Menteri. Isu besar sekarang ini ialah rakyat berdepan dengan masalah Covid-19 dan kecelaruan politik ini akan menganggu gugat kelancaran penyelesaian masalah ini.

“Keutamaan kita ialah selesaikan masalah ekonomi, penyebaran Covid-19 dan sebagainya. Oleh sebab itu sebarang gangguan yang boleh merencatkan akan mengganggu perkara ini.

“Sebarang dakwaan majoriti boleh kemukakan pada September,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia di sini pada Khamis.

Menurutnya, tiada gunanya pihak-pihak tertentu mahu menukar Perdana Menteri sedangkan jangkaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga semakin hampir.

Beliau berkata, Pas mengulangi pendirian tidak mahu mencampuri urusan mana-mana parti dan berpendapat kerajaan yang ada kini adalah sudah terbaik.

“Soal kelemahan itu semua ada kelemahan. Apa yang penting, kita utamakan hal-hal untuk kepentingan rakyat. Kita buat kerja seperti biasalah saja selepas ini,” katanya.