Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Bidas SUHAKAM

PAS Bidas SUHAKAM

KUALA LUMPUR, PAS membidas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang didakwa gagal mengenali kelompok pelampau dalam isu tulisan Jawi.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, merujuk kelompok pelampau sebagai pihak yang diberi hak menggunakan bahasa kaum sendiri tetapi mencabar bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi.

Beliau mengibaratkan kelompok itu sebagai pihak ‘sudah mendapat betis mahukan paha’ yang kemudiannya mahu menelan jasad orang yang berbudi kepada mereka.

“Sepatutnya SUHAKAM mengenali siapa pelampau sebenarnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hadi menegaskan, Islam dinobatkan agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan secara khusus kepada konsep Raja Berperlembagaan.

Walaupun kebebasan beragama itu dijamin oleh Perlembagaan, beliau berkata, perlu ada sempadan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

“Kebebasan itu bukan bererti tiada sempadan, kerana kalau tiada sempadan maka dinamakan kebabasan atau jadi terbabas dan tersungkur merosakkan,” katanya yang menyifatkan kritikan terbuka SUHAKAM terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat memedihkan perasaan hati umat Islam.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebelum ini SUHAKAM mengatakan Kongres Maruah Melayu boleh menggugat hubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, walaupun penubuhan SUHAKAM atas desakan parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, takrif kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh disamakan dengan negara Barat.

Hadi berkata, tugasan dalam pentadbiran kerajaan dibahagikan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), khususnya pihak yang bertanggungjawab terhadap aspek keamanan dan keselamatan yang sepatutnya SUHAKAM lebih memahami.

“Jangan perbodohkan pihak lain dan tahu di mana bumi kita berpijak, iaitu bumi Malaysia bukannya negara asing. Sangat malang kalau kakinya berpijak di Malaysia tetapi otaknya masih dijajah oleh pihak asing.

“Kami yakin kepada al-Quran yang menyatakan mengenai permulaan hidup manusia dan kebenaran asasi pertama dibawa para Rasul AS termasuk menentukan hak asasi manusia dan konsep keadilan yang saksama.

“Kami tidak menerima teori Yahudi Darwin yang meletakkan manusia dimulakan dengan Zaman Batu dan kebinatangan.

“Biarlah negara Barat menafsirkan sendiri hak asasi sehingga meletakkan hak binatang lebih penting daripada manusia. Malaysia tidak sampai ke tahap adanya hartawan mewasiatkan harta kepada anjing peliharaan kerana keruntuhan institusi keluarga, mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan perkara-perkara lain di luar tabii,” katanya.

Sebelum ini, SUHAKAM mengkritik PDRM yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang penganjuran sidang berkaitan tulisan Jawi oleh Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Menurut SUHAKAM, tindakan itu boleh dianggap menafikan hak Dong Zong untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun seperti ditetapkan perlembagaan selain mendakwa PDRM tunduk kepada ancaman keganasan yang dibuat pihak tertentu.

Leave a Reply

Top