MH Online

Laman Suara Rakyat

PUTRA Bukan Saingan PAS

PUTRA Bukan Saingan PAS

KOTA BHARU, PAS tidak menganggap penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sebagai saingan kepada parti itu, sebaliknya ia mampu memeriahkan lagi senario politik negara.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata semua pihak berhak menubuhkan parti baharu termasuk Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.

“Pada saya tiada masalah jika ada pihak menubuhkan parti baharu. Malah, Ibrahim sendiri sudah berpengalaman dalam menubuhkan parti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kewujudkan parti baharu itu membuktikan Malaysia sebuah negara demokrasi dan bagi saya lebih banyak parti akan menjadi lebih meriah.

“Bagi saya PUTRA tidak akan memberi saingan kepada PAS,” dipetik sebagai berkata.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ibrahim bersama bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalid Yunus, menubuhkan parti baharu, PUTRA, dan menjadikannya parti ke-56 di Malaysia.

Penubuhan PUTRA menggunakan lambang tanjak yang membawa agenda memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam itu diumumkan Jumaat lalu.

Ibrahim sebelum ini pernah kembali menyertai UMNO selepas meninggalkan parti itu untuk menyertai parti serpihan Semangat 46. Beliau kemudiannya sekali lagi meninggalkan UMNO sebelum bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau juga pernah memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS pada 2008.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ibrahim kalah teruk sehingga hilang deposit selepas hanya memperoleh 5,800 undi berbanding calon PAS, Ahmad Fadli yang mendapat 28,080 undi dan calon BN, Nor Azmawi Ab Rahman (15,005 undi) di kerusi Parlimen Pasir Mas.