MH Online

Laman Suara Rakyat

Paris Wajibkan Pemakaian Pelitup Muka Esok

Paris Wajibkan Pemakaian Pelitup Muka Esok

Pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di sebahagian Paris dan wilayahnya yang lebih luas mulai esok, sebagai langkah mengekang peningkatan jangkitan COVID-19 di dalam dan sekitar ibu negara Perancis itu, kata polis.

Pelitup muka diwajibkan kepada individu berusia 11 tahun ke atas bermula jam 8 pagi (0600 GMT) esok di beberapa zon yang padat, kata polis dalam satu kenyataan semalam, namun belum memperincikan kawasan terbabit.

“Semua maklumat menunjukkan sejak pertengahan bulan lalu, virus ini kembali menular secara lebih aktif di wilayah ini,” katanya, memaklumkan 400 individu disahkan positif COVID-19 di wilayah itu setiap hari membabitkan individu berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Beliau turut menjelaskan, kadar ujian saringan yang positif di Paris adalah 2.4 peratus, berbanding kadar purata kebangsaan 1.6 peratus.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo sebelum ini menggesa polis mewajibkan pemakaian pelitup muka sejak bulan lalu, pelitup muka sudah diwajibkan di ruangan awam tertutup seperti kedai di seluruh negara itu, namun beberapa bandar turut mewajibkannya di kawasan awam lain, antaranya Nice, Marseille dan Lille.

Perancis menarik kembali arahan perintah berkurung selama dua bulan dengan agak pantas, dan keadaan kembali hampir seperti biasa dengan tempoh percutian tempatan sedang berlangsung.

Namun, pihak berkuasa semakin bimbang dengan peningkatan kadar jangkitan baharu di negara itu yang kini merekodkan 30,324 kematian akibat COVID-19, Jumaat lalu.

Perancis melaporkan 2,288 jangkitan baharu, iaitu peningkatan ketara kes harian berbanding beberapa minggu sebelum ini. – AFP