MH Online

Laman Suara Rakyat

Pak Jalil Gigih Usahakan Tanaman Salak

Pak Jalil Gigih Usahakan Tanaman Salak

KUALA NERUS, Demi mencari sesuap nasi untuk meneruskan kelangsungan hidup, seorang lelaki berusia begitu bijak mengusahakan tanah di belakang rumah untuk sumber pendapatan tambahan.

Jalil Chik telah mengusahakan tanah seluas lebih kurang setengah ekar untuk tanaman pokok salak untuk dijual kepada penduduk tempatan khususnya di daerah tersebut dan negeri Terengganu amnya.

“Daripada tanah penuh dengan lalang, lebih baik saya tanam salak. Hasil tanaman bolehlah juga beli barang dapur,” katanya.

Menurut beliau dalam setahun beliau mampu menjual sebanyak 400 kilogram buah salak.

“Harga sekilo saya jual RM 5 sahaja. Cuba awak kira berapa saya dapat dalam setahun,” katanya dengan senyuman.

Berusia 64 tahun dan bekerja sendiri di kampung sejak dulu hingga kini, beliau menegaskan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Oleh kerana sering putus bekalan makanan terutama pada pertengahan bulan, beliau mula memikirkan sesuatu bagi meneruskan kehidupan.

“Satu hari tu saya terfikir, saya mesti buat sesuatu kalau tidak sampai bilapun hidup dalam kesusahan.

“Bila saya lihat tanah sekeliling rumah tumbuh lalang dan semak, sayapun buat keputusan untuk tanam pokok salak ni. Alhamdulillah rezeki saya agaknya, pokok salak ni menjadi, ” katanya.

Menurut ayah kepada lima orang anak ini hasil jualan buah salak, dia mampu membesarkan kesemua anaknya dengan sedikit keselesaan.

Kata beliau sebahagian besar pelanggannya adalah penduduk kampung dan  sebahagiannya lagi pelanggan yang datang dari bandar Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya.

Beliau yang lebih mesra disapa Pak Jalil dan kini menetap di Kampung Gelung Gajah, Batu Rakit dekat sini berkata setakat yang beliau tahu hanya beliau sahaja mengusahakan tanaman tersebut di daerah berkenaan.

Sebagai pengusaha tunggal salak di situ serta dapat sedikit sebanyak keuntungan, Jalil berasakan sudah tiba masanya kerajaan menggalakkan penduduk di Terengganu ini mengusahakan salak sebagai sumber baru kewangan.

“Kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad  Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar kenalah bantu rakyat. Mana-mana tanah kosong tu bagilah orang kampung usahakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk mencari tanah sama ada dalam daerahnya atau mana-mana kawasan sesuai di Terengganu untuk meluaskan lagi projek pokok salak ini.

“Saya mintaklah kerajaan negeri bantu saya dapatkan tanah. Kalau harga sewa berpatutan bolehlah,” ujarnya.

“Saya sebenarnya bercita-cita tinggi. Cita-cita saya ialah nak eksport buah salak ni ke luar negara,” katanya.

Beliau memuji Ahli Parlimen kawasan iaitu Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali yang ambil tahu pemasalahan rakyat.

Walaupun Menteri Perusahaan Perladangan  & Komuniti itu tidak pernah datang tetapi beliau tahu menteri berkenaan sentiasa amalkan sikap peduli rakyat.

Begitu juga Wakil Rakyat, Haji Bazlan Abdul Rahman yang sentiasa memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang menceburkan diri dalam pertanian.

“Kedua-dua pemimpin ini amat dekat dengan orang kampung. Saya bangga dapat pemimpin seperti ini.

“Saya harap menteri baru ini kalau balik kampung, datanglah rumah saya dan tengok bagaimana saya usahakan tanah kosong jadi pokok salak,” katanya.

Beliau beruntung isterinya, Midah Husim yang juga guru Tadika di kampung tersebut,  banyak membantu. Tanpa bantuan orang rumahnya sudah tentu sukar baginya mengusahakan tanaman ini.

“Kami bergilir-gilir jaga pokok. Kalau sebelah pagi saya pergi tengok sebelah petang giliran orang rumah pulak,” katanya.

Beliau berkata selain menjadi hobinya berkebun salak ini, ia juga sebagai senanam untuk menjaga kesihatan diri.

“Membersih kebun dan memetik buah salak ni saya anggap sebagai satu senaman selain ia mendatangkan hasil  kepada diri kita,” katanya.