Membahasakan dirinya sebagai ‘pak cik’ ketika berucap di hadapan pelajar Sekolah Kebangsaan Ledang ketika mengadakan lawatan ke sekolah itu hari ini, beliau berkata, ketika berumur lapan tahun, beliau mengenali seorang posmen yang menjadi adiwiranya dalam mengajar erti sebuah amanah.

“Suatu hari posmen ini kena langgar dengan lori sampai luka parah dan dibawa ke hospital untuk dirawat, walaupun ketika dirawat serta lukanya dibalut posmen ini masih menggenggam surat yang diamanahkannya untuk dihantar dan enggan melepaskan surat itu.

“Hinggalah ketuanya datang ke hospital barulah posmen itu bagi surat itu kepada ketuanya. Anak-anak sekalian kena jadi amanah, sentiasa tunaikan amanah kepada mak dan ayah yang hantar ke sekolah untuk belajar, sentiasa dengar cakap cikgu dan belajar sungguh-sungguh,” katanya di sini.

Beliau berkata, membaca buku juga perlu dijadikan amalan bagi setiap pelajar untuk menimba ilmu, justeru selain guru, ibu bapa juga perlu memainkan peranan menerapkan budaya membaca dalam kalangan anak mereka sendiri.

Maszlee berkata, buku perlu dilihat sebagai sebuah pelaburan untuk anak mereka menimba ilmu dan tidak lokek mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli buku yang memberi faedah kepada perkembangan  minda anak-anak mereka.

“Ibu bapa bila lihat anak balik sekolah boleh periksa sama ada anak mereka pinjam buku di perpustakaan atau tidak, jika tidak pinjam tanya kenapa dan galakkan anak mereka untuk meminjam buku di perpustakaan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, budaya membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh yang diserap masyarakat Jepun kepada anak-anak mereka juga perlu diteladani masyarakat di negara ini dan beliau melihatnya sendiri ketika melawat negara itu baru-baru ini.

Katanya, pelajar Jepun melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh baik dari segi belajar ataupun bersukan, malah mempunyai semangat maju bersama yang amat baik untuk diteladani pelajar di negara ini.

“Bila main bola tendang tak masuk (gol), kawan dia bagi semangat lagi sampai boleh masuk (gol). Inilah budaya rakyat Jepun, mereka belajar sungguh-sungguh sukan pun sungguh-sungguh. Anak-anak sekalian boleh jadi macam orang Jepun,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita Maszlee berkata, pelajar Tahap 1 tahun ini akan memulakan pentaksiran bukan berasaskan peperiksaan dan diharap mekanisme itu dapat membantu  guru memfokuskan usaha membentuk pelajar mereka menjadi lebih cemerlang.

“Ini saya harap para guru dapat menumpukan usaha pembelajaran bagi meningkatkan kemenjadian  pelajar itu (dengan) lebih waktu diberikan mendidik mereka, kepada ibu bapa gunakan waktu ada menggalakkan pembacaan (anak mereka) dan meneroka ilmu yang baharu,” katanya.