MH Online

Laman Suara Rakyat

Padang Besar Akan Terus Dimajukan

PADANG BESAR, Padang Besar dijangka mengalami pertumbuhan perdagangan penting di kawasan Asia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi jika perancangan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ‘terganggu’ dalam tempoh tersebut.

Calon BN Parlimen Padang Besar yang juga penyandang kerusi tersebut, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata projek yang dirancang khususnya Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dan pekan Padang Besar sebagai kawasan bebas cukai.

“Semua projek ini memerlukan penglibatan orang ramai kerana banyak peluang perniagaan dan pekerjaan akan tersedia. Bagi menjayakan perancangan yang dibuat, kita perlukan sebuah kerajaan yang kuat,” katanya.

Ketua Bahagian UMNO Padang Besar itu bercakap kepada Bernama selepas menghadiri majlis Santai Bersama Veteran Tentera peringkat Parlimen Padang Besar di Alor Tampang di sini, pada ahad.

Menurut Zahidi tanah seluas 3,000 hektar di Kebun Jati, Sungai Chuchuh akan dijadikan kawasan pelancongan untuk menyokong kehadiran ramai pelancong asing di samping membina trak sukan permotoran lasak apabila CVIA dan PIP siap sepenuhnya menjelang 2025.

Dalam hubungan ini, beliau meminta anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sama ada yang berpencen atau tidak supaya bersedia merebut peluang yang terbuka kelak.

“Dalam Parlimen Padang Besar sahaja terdapat 1,200 bekas tentera yang menjadi anggota persatuan. Mereka boleh menceburi bidang yang sesuai dengan kemahiran yang diperoleh semasa bersama ATM,” katanya.

Zahidi berkata beliau mengambil kesempatan pertemuan itu bagi menerangkan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan BN kepada bekas tentera serta perancangan membina rumah untuk mereka dan anggota tentera yang sedang berkhidmat.

Kerajaan persekutuan juga telah meluluskan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan pembinaan 400 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di samping 500 unit PPR lagi dimohon oleh kerajaan negeri untuk dipertimbangkan, katanya.

Zahidi berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya membina rumah khusus untuk anggota dan bekas tentera di atas dua lot tanah milik ATM di Padang Besar jika BN memenangi PRU14.