Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur sikap segelintir orang Melayu yang baru mula menikmati kejayaan kecil berbanding kaum lain tetapi menunjukkan sifat-sifat lupa daratan.

Baginda menyifatkan sikap sedemikian ibarat mengulangi budaya kehidupan pada era prapenaklukan Melaka oleh Portugis yang hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Dibimbangkan kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat selagi orang Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah untuk mencerminkan imej sosial… berbanding menabung dan melabur untuk membina aset bangsa yang lebih besar bagi jangka masa panjang,” titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini Isnin.

Turut berangkat pada muzakarah bertemakan ‘Mengakar Kuat Umat Melayu, Menjunjung Tinggi Islam’ adalah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah orang Melayu sedang berada dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang, dan semakin terpercik ke muka sendiri.

“Dalam kesyukuran mencipta kejayaan, orang Melayu tidak boleh mengambil ringan perbuatan salah laku sebahagian anak bangsanya, laksana anai-anai yang boleh meruntuhkan bangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin menarik perhatian bahawa dasar-dasar murni yang digubal untuk membantu Melayu, tidak tercapai sepenuhnya kerana terbukti berlaku ketirisan secara besar-besaran.

“Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga,” titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah bangsa Melayu yang terus bercakaran tidak akan menjadi bangsa yang kuat; umat Islam yang terus berkonflik tidak akan berupaya menjunjung ketinggian Islam.

“Semoga Allah mengukuhkan kekuatan dalaman umat Melayu untuk cekal melakukan yang makruf dan gigih mencegah yang mungkar serta ditunjukkan jalan yang mendapat keredaan-Nya,” titah Sultan Nazrin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *