MH Online

Laman Suara Rakyat

Ops Benteng Tangani Kebanjiran Warga Asing

KUALA LUMPUR, Usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) di sempadan menjadi fokus utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelesaikan isu kebanjiran mereka di negara ini.

Antara inisiatif yang diambil untuk tujuan itu ialah Ops Benteng bagi menangani kehadiran PATI yang semakin meningkat terutama ketika negara berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Ops Benteng bukan sahaja untuk menyekat warga asing masuk ke dalam negara, malah untuk membendung kegiatan jenayah yang membabitkan PATI.

“Jadi segala yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat kerana kita boleh menentukan ekonomi domestik bebas daripada perkara yang boleh menyulitkan kita,” katanya dalam temu bual khas sempena 100 hari menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) di pejabatnya, kelmarin.

Bagi tempoh 1 Mei hingga 14 Jun, hampir 1,000 PATI dan tekong haram ditahan selepas dikesan cuba menyeludup masuk ke negara ini menerusi Ops Benteng.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 822 membabitkan PATI dan 144 tekong yang cuba memasuki sempadan terutama melalui lorong tikus.

Turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 15 kapal.

Ops Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kebanjiran PATI dapat dilihat apabila jumlah tahanan ketika ini sudah mencecah 15,000 orang walaupun kapasiti di 14 Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara hanya mampu menampung 12,530 orang.

Sehubungan itu, beliau berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kawalan di sempadan terus diperketatkan bagi mengekang PATI masuk secara haram.

“Insya-Allah saya akan maklumkan beberapa strategi lagi. Kita mahu dari segi keselamatan strategik dilakukan di sempadan bukan hanya di Sabah dan Sarawak, malah di Semenanjung,” katanya.

Hamzah berkata, beliau faham dengan sentimen rakyat yang mahu masalah PATI diselesaikan segera sehingga ada yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa selama ini.

“Bukan kita tidak mahu tangkap lebih lagi. Jika depoh tahanan sudah terlalu sesak, di manakah kita hendak meletakkan mereka nanti? Sudah tentu jika ditempatkan juga di depoh tahanan, ia akan mengakibatkan kesan lebih buruk.

“Oleh itu, kita sedang bekerjasama dengan beberapa negara seperti Indonesia, Bangladesh dan Filipina untuk menghantar pulang rakyat mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang banyak bagi menampung keperluan termasuk makan dan minum setiap PATI di depoh tahanan.

“Saya difahamkan, di Cox’s Bazar (kem pelarian di Bangladesh) ada sejuta etnik Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Bayangkan jika seorang PATI kita belanjakan RM15 untuk makan dan minumnya sehari, kerajaan terpaksa menanggung kos RM15 juta untuk sejuta PATI.

“Itupun ada badan bukan kerajaan (NGO) yang suka mencari kesalahan kerajaan ketika kita mengambil tindakan terhadap PATI.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata insiden pencerobohan bot membawa 269 etnik Rohingya di perairan Pulau Langkawi 8 Jun lalu, meletakkan dirinya dalam situasi genting apabila harus membuat keputusan terbaik.

“Saya menerima panggilan pada awal pagi daripada pegawai mengenai tindakan dan helah mereka yang membocorkan bot.

“Saya kata kepada pegawai terbabit bahawa kita tiada pilihan lain dan terpaksa menyelamatkan mereka terlebih dahulu.

“Inilah bukti bahawa negara kita mengamalkan sifat kemanusiaan, namun ia bukan bererti mereka boleh masuk sewenang-wenangnya ke negara kita secara haram,” katanya.

Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 120,000 etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR di negara ini.

Sementara itu, Hamzah berkata, berdasarkan maklumat risikan, pelarian Rohingya terbabit membayar antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang untuk diseludup masuk ke negara ini.

“Cuba kita fikirkan, ini bermakna mereka ada wang yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu termasuk ahli keluarga dan saudara-mara yang sudah berada di negara ini dan mampu membayar kepada sindiket untuk menyeludup masuk ke Malaysia.

“Mungkin sebelum ini kita terlampau berlembut maka sindiket ‘naik lemak’ dan kini masanya kita menahan tekong-tekong ini serta memberikan mereka hukuman setimpal kepada mereka yang terbabit dalam pemerdagangan manusia,” katanya.