Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk pengeboman kejam di Lahore, bandar terbesar di Pakistan Timur pada Ahad, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 72 penduduk dan mencederakan lebih 300 orang.

Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani, dalam satu kenyataan, melahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, yang kebanyakannya menyambut festival Easter ketika kejadian.

“Beliau berharap mangsa yang cedera akan segera sembuh dan memberi jaminan bahawa OIC menyokong penuh kepimpinan, kerajaan dan rakyat Pakistan dalam usaha mereka menentang keganasan serta jenayah,” menurut kenyataan itu.

Madani berkata jenayah kejam ini adalah satu penghinaan kepada kemanusiaan, dan menyeru agar usaha bersepadu dilakukan bagi menghapus jenayah keganasan serta kumpulan pengganas, selain menangani punca kebangkitan mereka.

Beliau menekankan hak kumpulan minoriti untuk kewarganegaraan dan mengamalkan kepercayaan mereka secara aman serta selesa, dan berkata tindakan pengganas seperti ini telah menjejaskan orang Islam mahupun bukan Islam.

Setiausaha Agung OIC turut menekankan keperluan untuk mengasing dan menahan dalang di sebalik perlakuan tidak berperikemanusiaan itu serta memburu kumpulan terbabit yang kini mengancam keamanan hidup rakyat.

Madani turut mengumumkan hasrat beliau mengundang Akademi Fiqah Islam Antarabangsa bagi mengadakan satu sesi khas “untuk mempertimbang pengulangan kutukan dan mengambil tindakan ke atas semua pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah ini.”

Satu puak serpihan Taliban Pakistan, Jammat ul Ahrar, mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom bunuh diri itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *