Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr. Idris Ahmad berkata, ketidaktentuan peralihan kuasa tersebut telah menjadi polemik dalam kalangan rakyat malah boleh menjejaskan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Dalam setahun, adakah rakyat Malaysia puas hati tentang pentadbiran kerajaan di Putrajaya? tahap keyakinan pelaburan serta ekonomi merudum, jadi berapa lama kita harus tunggu?

“Kami tidak mahu beliau terus berhenti tetapi sekurang-kurangnya berikan satu garis masa, jadi pelabur dan rakyat akan dapat tahu, tetapi sekarang kabur,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr. Idris yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok menambah, tiadanya garis masa tentang peralihan kuasa tersebut telah menyebabkan timbul rasa curiga dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan (PH) sendiri terhadap keikhlasan Dr. Mahathir.

“Satu tempat beliau beri kenyataan lain, satu tempat lagi beri kenyataan lain, ini meragukan situasi. Ada satu kenyataan beliau kata akan beri peluang kepada Perdana Menteri kelapan bila ekonomi pulih, kalau ekonomi tak pulih dalam tempoh tiga tahun, empat tahun, maknanya beliau akan duduk sampai PRU-15.

“Walaupun dikatakan (dalam) dua tahun, kita mahu beliau kata seperti Mei 2020, saya akan tetap meletakkan jawatan dan beri laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua orang akan gembira dan semua tahu garis masanya, tapi sekarang tiada, banyak spekulasi, “katanya.