MH Online

Laman Suara Rakyat

Noripah Kamso Pengerusi Baharu Bank Rakyat

Noripah Kamso Pengerusi Baharu Bank Rakyat

PUTRAJAYA, Bekas penasihat CIMB Islamic, Datuk Noripah Kamso, dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat yang baharu, berkuat kuasa serta merta.

Noripah menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan serta merta daripada jawatan itu bulan lalu berikutan terbabit dalam isu Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada menteri itu di bawah sub perenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202].

Beliau berkata, Noripah ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Asset Management Sdn Bhd.

“Beliau kini memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad dan menjadi Pengerusi bersama Islamic Finance Industry Council, Malaysia US Chamber Of Commerce yang berpusat di Washington DC.

“Datuk Noripah juga ialah bekas Presiden Malaysian Futures Brokers Association (MFBA) dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu, berkuat kuasa serta merta.

“Pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat baharu yang lain akan diumumkan sebaik saja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan ‘layak dan sesuai’ oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618],” katanya.