MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Nilai Kemampuan Diri Dahulu’

Calon yang bertanding jawatan Presiden UMNO perlu menilai kemampuan diri masing-masing dan bukannya hanya melihat sebagai tempat untuk menjadi ketua memandangkan perlu menggalas tanggungjawab besar sekiranya dipilih memegang jawatan nombor satu parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatan itu perlu dipimpin oleh mereka yang berpengalaman bagi mengembalikan kekuatan parti dan kepercayaan rakyat.

“Ahli biasa yang bertanding jawatan Presiden wajar memberi laluan kepada calon tertentu sahaja yang mempunyai kriteria sebagai pemimpin, mereka perlu lihat di mana ‘level’ dan siapa mereka.

“Jika semua mahu bertanding jadi masalah juga, memang kita sudah mengamalkan dasar terbuka tapi kita perlu juga tengok kemampuan diri,” dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, UMNO tetap terbuka sekiranya parti itu dipimpin orang muda berpengalaman asalkan mampu memberi nafas baharu kepada parti.

Katanya, beberapa calon yang bertanding jawatan presiden iaitu pemangku Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin adalah calon pemimpin yang berkaliber dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Semalam media melaporkan, tujuh borang pencalonan diterima bagi pemilihan jawatan Presiden UMNO selepas waktu serahan borang tamat pada jam 5 petang.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dipetik berkata, ia jumlah tertinggi dalam sejarah parti bagi pemilihan jawatan tertinggi itu.