Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan hasil siasatannya terhadap Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Tiga NGO tersebut ialah Pertubuhan Suara Rakyat Marhaen (Suara), Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas) dan Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selagngor (Gapenas).

Penasihat Suara, Zamil Ibrahim mendakwa, selepas 43 hari laporan dibuat, masih tiada sebarang maklumat diperoleh berkaitan laporan yang dibuat.

“Hari ni (semalam), genap 43 hari kami membuat laporan dan menyerahkan pelbagai maklumat tentang perbezaan angka serta kenyataan bercanggah antara Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mantan (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) berkaitan isu pengambilalihan Splash.

“Jadi kami serahkan satu surat rasmi kepada SPRM mendesak supaya dedahkan status siasatan mereka tentang perkara ini,” katanya.

Sehingga kini menurutnya, tiga pihak yang dinamakan iaitu Azmin, Khalid dan Pengerusi Splash, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah masih belum dipanggil SPRM.

“Kami dimaklumkan sebentar tadi laporan tersebut dihantar ke SPRM Putrajaya dan sekarang kami tunggu hasil laporan di sana dan difahamkan hingga kini, ketiga-tiganya masih belum dipanggil. Tolong panggil mereka.

“Yang pasti banyak rungutan dari rakyat mengenai perkara ini, malah menerusi media sosial pun ada yang mempersoalkan sama ada SPRM siasat atau tidak isu Splash ini,” katanya.

Menurutnya, pihak SPRM diminta tidak memandang remeh mengenai laporan yang dibuat berkaitan isu tersebut berikutan ia berkaitan kepentingan rakyat.

“Kami tidak mahu rakyat hilang kepercayaan kepada SPRM terutamanya SPRM Selangor dan diharapkan agar status siasatan kes didedahkan.

“Di kesempatan ini kami ingin ambil kesempatan untuk bertanya kepada pihak SPRM, adakah siasatan sudah dimulakan atau masih belum siasat apa-apa?” katanya yang turut memberi tempoh 14 hari kepada SPRM untuk menjawab kepada persoalan tersebut atau aduan akan dibuat kepada Biro Penjawat Awam (BPA) atas kegagalan menjalankan tugas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *