MH Online

Laman Suara Rakyat

New Zealand Tangguh Gelembung Perjalanan

New Zealand Tangguh Gelembung Perjalanan

WELLINGTON, New Zealand hari ini menangguhkan perjalanan tanpa kuarantin bagi seluruh negeri dan wilayah Australia, berikutan keadaan COVID-19 di negara itu semakin buruk, lapor Xinhua.

Bermula tengah malam ini (11.59 malam) rakyat Australia tidak lagi dibenarkan memasuki zon tanpa kuarantin New Zealand.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada sidang medianya hari ini, berkata langkah baharu terbabit akan dikuatkuasakan untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh lapan minggu.

“Bagi tempoh tujuh hari akan datang, penerbangan pulang yang dinaiki warga New Zealand dari semua negeri dan wilayah yang memerlukan bukti ujian sebelum berlepas yang negatif,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang sudah berada di New South Wales, Australia masih perlu menjalani pengasingan dan kuarantin selama 14 hari.

“Mereka yang pernah berada di Victoria, Australia mesti menjalani kuarantin diri setibanya kembali dan perlu negatif pada hari ketiga ujian,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu disebabkan peningkatan kes COVID-19 di beberapa tempat di Australia sejak beberapa hari lalu. – BERNAMA